Powered By Blogger

Tuesday 29 August 2017

RINDUKU PADA GEMULAH

Ke pejabat pagi ini untuk menandatangani beberapa dokumen . Sementara menanti Pembantu Tadbirku menyiapkan dokumen-dokumen itu , aku menikmati halwa telinga dari lagu-lagu lama , lagu-lagu kenangan semasa kecil , ada antara lagu itu sebenarnya adalah lagu kesukaan abang yang selalu dimainkannya sambil belajar. Aku yang masih kecil ketika itu , tumpang mendengarnya sehingga hafal lirik dan melodinya .

Mendengar lagu-lagu itu , aku terbayang keadaan rumahku yang usang. Terbayang arwah bapak yang bekerja keras untuk membesarkan kami adik beradik. pagi-pagi lagi arwah bapak sudah keluar untuk menoreh di kebun tauke Cina di kampungku. Emak pula menoreh di kebun kami. Setelah siap menoreh di kebun kami , emak akan menolong bapak pula , kadang-kadang aku ikut serta. Susu getah yang telah penuh dalam cawan akan dimasukkan ke dalam baldi dan dibawa ke tempat memproses getah. Aku tidak ingat bagaimana susu-susu itu diproses kemudiannya menjadi kepingan. Yang aku ingat , sebulan sekali aku akan membantu emak memungut ojol di kebun kami. Apabila ojol dijual kepada peraih , emak akan mengupahku RM5. Aku juga masih ingat , setiap bulan apabila musim mengira getah , arwah bapak akan membawa pulang belanja dapur . Ketika ini , aku akan meminta sepeket Milo...peket kecil seperti 'sachet' minuman 3 in 1 sekarang. Seronoknya dapat makan Milo. Kata kakak , aku suka sangat makan Milo ketika kecil dahulu.

Kesusahan hidup semasa kecil selalu ingin kuceritakan kepada anakku. Dia yang besar dalam keadaan selesa dan serba ada tentunya tidak dapat merasai denyut kesusahan itu. Selalunya , apabila teringat akan kesusahan-kesusahan itu , air mataku bergenang. Aku teringat arwah berkayuh basikal ke pekan kecil yang jauhnya 2 kilometer untuk mencari ikan dan sayur. Aku teringat arwah  menghantarku ke sekolah pada jam 5 pagi untuk pergi ke Arkib Negara Kuala Lumpur bersama pengetuaku sebagai persiapan ke pertandingan Kuiz Perdana peringkat negeri pada tahun 1991. Aku teringat arwah  menunggu ketibaanku di hentian bas seawal jam 12.30 malam meskipun bas yang kunaiki hanya tiba jam 3 pagi !. Apabila telah punya anak , aku tahu kenapa dia menunggu sebegitu awal - mahu pastikan keselamatanku !. Mengenangkan itu, kadang kala , air mata ini tak dapat kutahan-tahan daripada meluncur di pipi. Sungguh jauh dikau pergi....berpisah untuk selamanya , tiada lagi senyum mesra dan gurau senda ...

Sunday 27 August 2017

Perang Pagi

Mengejutkan anak pada waktu pagi memang payah. Anak bagai terbungkus rapi dalam selimut , meringkuk dalam sejuk subuh. Makin dikejut, makin meringkuk. Benarlah , bangun pagi untuk solat subuh adalah peperangan jiwa yang besar.

Pernah kubaca satu entri yang katanya satu kesilapan besar bagi ibu bapa adalah gigih mengejutkan anak bangun pagi untuk ke sekolah , bukan untuk solat Subuh. Maka itu , anak-anak seakan terdidik bahawa bangun pagi adalah untuk ke sekolah sahaja , cuti sekolah boleh bangun lewat. Itulah persepsi salah yang banyak ibu bapa terapkan secara tidak sengaja kepada anak-anak. Maka apabila anak-anak itu besar dan bekerja , mereka bangun pagi untuk bekerja pula dan lewat bangun pada hari cuti. Tidak terasa kebertanggungjawaban bahawa bangun pagi itu adalah untuk solat Subuh .

Akhirnya wujudlah generasi yang bangun paginya hanya untuk menyelesaikan tanggungjawab duniawi.

Thursday 24 August 2017

MARAH DAN DAKWAH

Kita nampak perempuan tak bertudung , perempuan itu pula anak si hartawan atau kenamaan. Maka ramai antara kita suka kutuk dia 'kaw kaw'. Dia ada laman sosial , dia muat naik gambar , maka kita acah-acah ustaz ustazah , komen dia tak tahu hukumkah? Kita kata sia-sia dia lawa kalau rambut terdedah - tak takut nerakakah?

Kita lupa , dakwah bukan dengan marah. Dakwah itu lunak. Melenturkan hati. Mendekatkan , bukan menjauhkan

Moga Allah ampuni kita dan dia juga. Siapa tahu , dia dahulu ke syurga berbanding kita.

AKU , LAGU & KENANGAN



AKU, LAGU DAN KENANGAN

Tiba-tiba teringin memasukkan lagu-lagu latar dalam blog ini. Maka , aku usahakan menggodeh , tekan sana tekan sini , cuba dan jaya . Aku pilih lagu-lagu yang punya signifikan dalam travel hidupku. Lagu-lagu kenangan. Ahhh…syahdunya. Benar kata orang, ada masanya lagu itu membuat kita berlari ke masa silam.
 Zapin Yang Tinggal adalah lagu keluargaku. Liriknya menyentuh hati kami. Aku yang tinggal bersama ibu tahu dan dapat merasakan denyut nadi kerinduan ibu pada anak cucunya. Terlebih setelah ayah tiada. Dahulu semasa ayah masih ada pun , aku tahu ayah rindu tetapi hati lekainya yang pejal dapat melindung perasaan itu. Acapkali raya , ibu dan ayah menyediakan lauk pauk sebanyak-banyaknya untuk menyambut anak cucu balik kampung , padahal kurasa patutnya anak cuculah yang membawanya. Memang anak-anak emak tidak pulang tangan kosong , tetapi kasih ibu ayah jauh lebih besar dan sentiasa ingin memberi. Tangan-tangan tua mereka selalu terbuka luas untuk mendakap anak cucu yang dirindu.  Ok…cukup…nanti nangis.
Anak Gembala nyanyian Sudirman – itulah duniaku semasa kecil. Arwah ayah menggembala lembu . Banyak juga. Dengan menggembala lembu  dan menorah itulah ibu dan ayah membesarkan kami 9 beradik , menghantar aku dan abang ke menara gading.  Selalulah selepas balik dari sekolah , aku akan mengikut emak ke benteng padang ragut lembu arwah ayah. Dari situ , tak sedar rupanya telah berjalan kaki sejauh 1 kilometer mengekori lembu yang suka sangat acah-acah ragut rumput kemudian ‘berjalan’ , ragut lagi dan berjalan lagi. Kadang-kadang apabila lembu-lembu sudah menemui ‘port’ yang sedap untuk meragut, aku duduk di pintu air yang bentuknya macam katil . Memang panas ketika itu. Aku pun selalu nyanyi lagu iklan Coca Cola yang popular ketika itu , sekitar 80an … sungguh panas hari ini , suria bagai bara api… dan kadang-kadang juga aku nyanyi lagu Anak Gembala ini. Pernah suatu hari ketika mengekori lembu-lembu untuk pulang ke kandang , kami melalui tebing sungai dan aku Nampak seekor ular sawa batik yang besar dalam sungai yang jernih itu. Dunia kecilku yang ingin tahu mendesak aku memerhati ke mana ular itu pergi dan ketika itu barulah aku tahu … ooo ular boleh berenang. Musim raya juga , arwah ayah akan menyembelih lembu , aku menolong melapah. Penat tetapi aku memang kuat . Aku bangga melihat bajuku terkena darah lembu lambang kekuatan fizikalku disebalik tubuh yang kecil.Tahun 2016 , ayah pergi kepada Ilahi. Beberapa hari sebelum ayah pergi , dia berpesan agar kami adik beradik dan cucu cicitnya tidak menangisi kepergiannya nanti. Semua orang akan mati, katanya. Dia seakan tahu saatnya sudah hampir . Ambillah aku Ya Allah , aku bersedia lahir batin , kata-katanya mencucurkan air mata kami. Mulutnya tidak lekang menyebut nama Ilahi. Pagi Khamis , 22/01/2016 itu , aku bekerja seperti biasa dalam keadaan hati meresah. Jam 10.30 pagi aku mohon izin daripada GB untuk pulang sebentar menjenguk ayahku... sesampai di rumah , aku lihat ibu sedang duduk di sisi ayah sambil mengajarkan kalimah syahadah. Aku duduk di sisi ayah , memegang tangannya , melihat dadanya sebelum mendengar tarikan akhir nafasnya. Ya...ayah sudah pergi ... ayah pergi setelah aku sampai di rumah...pernah kubisikkan padanya dua hari sebelum itu ketika aku hendak keluar membeli ubat-ubatannya " bapak tunggu , ya"... dia mengangguk lemah dalam perbaringannya. Ketika menaip catatan ini, air mataku menitis tak disedari. Kini , acapkali mengalunkan Al Mulk , kadang kala aku menangis teringatkannya ; itulah surah  yang didengarinya sepanjang malam ketika aku mengambil giliran menjaganya. Ketika ayah pergi , kami redha ... kami tahan air mata kami. Pesanannya kami ingati. Abang-abang , ipar lelaki dan anak angkat ayah memandikan dan mengafankannya. hari itu cukup tenang , cuaca remang , tidak panas tidak hujan. Hanya hujan di hati kami.

Harum Subur di Hati – sampai baila-bila pun lagu ini akan mengingatkan aku kepada arwah anakku , Adam . Dia wildanku di syurga dan akan terus harum subur di hatiku. Aku tak mahu menulis banyak-banyak tentang itu , kerana air mata sangat murah dan laju. Sekadar ,Ummi , Abi dan kakak rindu Adam. Tunggu kami Ya Adam. 

Beberapa lagi , punya kenangan sangat peribadi dan tak boleh dicatat di sini .
Baiklah , setakat itu hari ini… kelas tambahanku bermula jam 9.30 pagi.

DALAM GAJIKU ADA REZEKI ORANG

Hari ini gaji. Rutin, ke bank keluarkan ringgit Malaysia yang semakin hari semakin rendah nilainya . Dari bank , terus ke Econsave membeli sedikit barang dapur , kubeli juga keledek ungu yang kukira mungkin manis , bolehlah direbus esok untuk sarapan abangku yang sedang merenovasi rumah pusaka ayahanda. Kubeli juga sedikit jajan untuk makanan anak-anak didikku semasa kelasku esok...memang cuti sudah bermula tetapi aku bimbang melepaskan mereka tanpa ikatan kelas memandangkan UPSR berbaki 20 hari,

Dalam cuti ini pun masih ada kelas lagi . Ahad dan Isnin , anak-anak didikku perlu ke SMA Bugisiah untuk program anjuran PPD . Selasa , kelasku dan Rabu kelas Matematik bersama Guru Besarku. Berkorban masa cuti sudah terlalu biasa bagiku. Cuma kali ini aku terfikir untuk berehat tahun depan, aku macam mahu berehatlah , menikmati cuti  , setidak-tidaknya membebaskan diriku daripada tekanan. 👧👧👧👧👧 . Aku harap aku tidak berubah fikiran 😇😇😇😇😇 sebab selalunya aku kata aku penat , tak mahulah ajar kelas UPSR tahun depan , tetapi apabila tahun depan itu sampai , aku mengajar lagi 😆😆😆😆😆.

Baiklah , dalam kocekku ada sedikit duit. Duit gajiku. Ada rezeki emak di situ . Aku bangga dapat memberi emak duit kocek setiap bulan.  Ada rezeki anakku di situ. Ada rezeki anak didikku di situ dan mungkin ada rezeki penjual ikan, penjual sayur , pekedai runcit dan siapa-siapa lagi yang ditakdirkan Allah.

Untukku , hanyalah apa yang kubelanjakan untuk diriku. Niat nak beli jam tangan Baby G tadi , tak jadi lah. Minggu depan nak mengambil anak-anak didik dari SMA Bugisiah selama dua hari itu perlukan minyak petrol . Minyak petrol mahal sekarang. Sejak lima minggu lepas , naik mencanak-canak. Aku rasa semakin lama nanti semakin ramai orang jadi kurang siuman sebab tekanan ekonomi ini. 

Lagipun bulan depan hari lahir anak. nak belikan dia hadiah , buatkan majlis ringkas. Maklum , anak tunggal. Oh...tabungan untuk anak bulan ini belum kulakukan !.

Oh , terlupa ... semalam GB memanggilku ketika aku baru sahaja sampai di sekolah. Dimintanya aku membuka pintu kereta , ada barang nak bagi katanya. Sebentar dia membuka boot kereta dan mengeluarkan kotak kipas siling jenama Panasonic. " Bagi emak awak" , katanya. Sebenarnya memang aku berniat hendak membeli kipas siling untuk bilik emak yang sedang dalam pembinaan. Semalam GB ada menanyakan progress renovasi rumahku. Rupa-rupanya dia hendak menghadiahi emak kipas itu. Rezeki emak...

Ya Allah , mengantuknya . Tadi baru menyelesaikan analisis SWOT peperiksaan percubaan . Boleh lena lepas ini.

Wednesday 23 August 2017

MERUBAH WAJAH

Agak mengantuk apabila duduk diam-diam , maka aku ubah tema blog ini. Mula-mula mencuba tema bergambar makanan , ahhh...nampak sangat aku pelahap , lagipun ini bukan blog masak memasak. Kemudian kupilih satu tema yang katanya 'awesome' , ahhh ada gambar lipstick la pulak. Aku bukan suka bersolek sangat pun , selalu sangat aku tampil santai dan sederhana. Macam baru bangun tidur pun ada.

Cuba dan cuba , cuba dan cuba , akhirnya ini yang kurasakan agak selesa dan bersifat 'mudah'            ( simple) , semudah hidupku walaupun aku bersifat agak 'complicated' dan sukar dihampiri pada tanggapan pertama sesetengah orang. Mungkin kerana selalu serius dan berbicara dari gerak mata.

Baiklah , selesai urusan memilih tema. Loceng berbunyi. Rehat ,sudah.

Oh , lupa ! KEBIRU meraikan kelahiran mereka yang terlahir dalam bulan Ogos. Akulah antaranya. Potong pulut kuninglah hari ini. Sesuailah pulut kuning itu untuk usia 42 sepertiku. Kek indulgence ke kek keju ke , bukan lagi makananku. Itu makanan potong kaki !

Pulut kuning sempena meraikan warga guru dan AKP yang lahir dalam bulan Ogos  ( jumlah paling ramai dalam sekolah ini)

Tuesday 22 August 2017

DARI BAHASA BANGSAKU MELAYU KEPADA TRAVELOG HIDUP

Blog ini bertukar nama.
Alkisahnya , pada tahun 2013 , aku sedang belajar sebagai mahasisTUA di IPGKTI . Semester itu , aku perlu belajar Teknologi Pendidikan . Salah satu tugasannya ialah menghasilkan laman web atau blog. Memang terdengar keluhan dari kakak-kakak senior generasi X , aku yang lahir di penghujung geenerasi X ini mungkin ada sedikit kelebihan kerana aku memang minat benar dengan ICT. Aku memang suka benar 'menggodeh' komputer , menggodeh laman web , mencuba apa sahaja tentang ICT. Dahulu semasa di IPGKBM untuk kursus asas perguruan sekitar tahun 1996  , aku pernah menangis kerana tak dapat menyiapkan slide powerpoint seperti kehendak pensyarah . ICT asing bagiku ketika itu.Rakan kelasku yang duduk di sebelahku juga menangis kerana dia juga sepertiku,. Buta ICT.

Apabila mula berkhidmat sebagai guru , komputer pun aku tak punya. Aku gunakan komputer sekolah untuk menyiapkan soalan. Untuk itu , aku datang awal , sekitar jam 10 pagi walaupun aku bekerja pada sesi petang. Tujuannya , untuk buat soalan peperiksaan . Apabila sudah sedikit mantap , aku beli komputer sendiri. Mulalah aku menggodeh hingga mahirlah menggunakan powerpoint dan excell. Tahun 2003 , aku berpindah ke SKAJA ini , kerana stigma aku pernah mengajar di sekolah menengah , Guru Besar meminta aku menjadi guru ICT , menjaga bilik komputer. Ketika itu , sekolah ini baru sahaja menerima 12 komputer meja lengkap dengan pengimbas dan pencetak. Bilik komputer juga baru siap diubahsuai dilengkapi pendingin hawa. Dari situlah aku semakin rapat dengan dunia ICT. Bilik komputer tempatku memerap dan mengeram. Malah pernah aku terkena renjatan elektrik pada kadar rendah ketika cuba menukar fius switch AVR kerana lupa menutup suis dan dalam masa sama aku memakai jam tangan jenis besi ( besi ek ). Aku berjaya menghasilkan blog sekolah , secara senyap-senyap secara cuba jaya . Aku tak pernah  mengikuti kelas menghasilkan blog dan aku bukanlah blogger pun.

Maka apabila pensyarah meminta smeua pelajar menghasilkan laman web atau blog , aku agak tenang kerana pengalaman menghasilkan blog sudah ada. Kuhasilkan blog ini dengan nama Bahasa Bangsaku Melayu kerana pada awalnya pensyarah mahukan sebuah laman web tentang bahasa. Menghasilkan blog ini pun sebenarnya masih lagi atas konsep cuba jaya.Sebaik sahaja blog ini siap , kutunjukkan pada dua orang sahabat karibku di sekolah , Siti Zainab dan Nooaini. Kedua-duanya rupa-rupanya tidak pernah pun menghasilkan blog dan terpesona dengan bloggku ( bangga riak le tu )

Pada kuliah kedua semester itu , apabila pensyarah memaparkan progress penghantaran alamat laman web/blog secara online , namaku terpapar antara penghantar awal. Blog ini dipaparkan dan pensyarahku ketika itu tertarik dengan nama yang kupilih. Ketika itu , ramai lagi yang belum dapat menghasilkan laman web / blog masing-masing. Keluhan kakak-kakak kedengaran lagi dan ramai antara mereka kemudiannya mengupah Penyelaras Bestari sekolah masing-masing untuk menghasilkan blog. Ketika itu , kami belum pun kenal rapat walaupun sekelas. Almaklum , kuliah kami sebulan sekali.Tambahan pula , perawakanku yang serius  menyebabkan aku kelihatan sukar dihampiri walaupun  aku agak lucu sebenarnya. Atas rasa simpati , kubantu salah seorang dari rakan kelasku untuk menghasilkan blognya . Aku menolong dengan rela hati , sambil itu aku dapat memperkasa kemahiranku dalam dunia blog ini. Semester 3 itu berakhir dengan jayanya .Tak perlu sebut berapa pointer kuperoleh. Nanti aku kembang macam belon. Selesailah di situ. Sejak itu , blog ini terbiar macam bangunan Kemayan cuma tidak berhantu tambahan pula aku semakin sibuk kerana saban tahun terlibat dengan kelas peperiksaan.

Hinggalah 16 Ogos lalu apabila tergerak membuka blog ini semula , mulanya kukira aku lupa kata laluannya. Email Gmailku memang auto saved dalam laptop ini. Apabila kutaip www.blogger.com , blog ini terpapar. Oh , my blog ! Sejak itu , blog ini hidup kembali dan ingin kujadikan catatan perjalanan hidup ; travelog hidupku. Suatu hari , akan terbaca oleh anakku atau oleh anak didikku.

Aku cuba berbahasa sebaik-baiknya dalam blog ini sambil sesekali berbahasa pasar untuk menambah variasi . 5 tahun lagi  aku mahu tulisan-tulisan ini menjadi seakan catatan kepada berubahnya bahasa. Sayugia diingatkan , aku tidak gemar bahasa hipster malah selalu gagal memahami apa yang ditulis oleh budak-budak hipster - titew ,naque , awaq , bhaper ,nyew ...ahhhh pitam aku . Paling aku benci , anak-anak sekolah terpengaruh dengan langgam bahasa dan ejaan ini. Maka , rosaklah bahasa .

Hurmmm... petangi ini ada taklimat di PPD , aku pula berpakaian Pandu Puteri . Malasnya mahu bersalin baju kurung . Ish...itu tiada kaitan dengan perubahan nama blog ini.



Telinga : Syukurkah aku padaNYA?

Balik dari Dispensari Huang tadi aku terus menitiskan ubat titik Cerumol ke lubang telingaku yang 'sumbat' itu. Ubat itu perlu dititiskan 5 titik dalam keadaan aku baring mengiring supaya ia boleh masuk dan mencairkan 'bijih' dalam telingaku yang mengeras. Kata Dr Caroline tadi , aku memiliki bijih jenis keras yang memang akan menimbulkan masalah padaku.
15 minit aku perlu mengiring sebelum kemudiannya 'menggerudi'. 

Aku sedar ke'pekak'kan ku ini dua minggu lalu apabila telingaku masuk air ketika mandi. Kukira tidak apa-apa tetapi kemudian aku mula sukar mendengar suara dari TV yang kutonton . Malah , bunyi ring tone telefon pun aku tak dengar. Suasana kurasakan sangat 'tenang'. Sehinggalah apabila aku tak mendengar suara rakanku yang bercakap denganku pada jarak yang hampir , maka aku rasa bahawa memang aku telah  kembali kepada masalah telinga. Terfikir aku , beginilah dahulu arwah bapak tidak mendengar bunyi setelah diserang demam panas sehingga sukar untuk dia berkomunikasi dengan orang lain. Sedih aku. Bezanya , arwah bapak langsung tidak mendengar bunyi , kami terpaksa bercakap dengannya di telinganya atau dia membaca gerak bibir kami tetapi aku masih dapat mendengar bunyi yang kuat .Kurasakan juga beginilah kehidupan OKU pendengaran.  

Maka , aku segera rasa insaf. Baru sedikit Allah uji . Bagaimana jika Allah ambil penglihatanku ? Ya Allah , dua kuping yang KAU beri ini selalu sangat menadah irama dan lagu. Jarang mendengar bacaan dari ayat-ayat cintaMU. Maafkan aku. 

Ketika ini aku sedang mengiring dan dalam telingaku , Cerumol sedang 'bekerja'. Ya Allah , kembalikan nikmatMU ini . Aku mahu mendengar bicara anak dan ibuku sejelas-jelasnya.


FB , Gossip , Muflis

Dalam FB sekarang ini 'galak' menelanjangkan kisah rumahtangga seorang penyanyi nasyid. Semua digeledah. Netizen yang tidak tahu pangkal hujung pun bukan main lagi mengulas. Siap tag kawan lagi suruh baca kisah itu. Ada yang share pula. Berantai-rantai membacanya.
Tadi pun aku tersebut kisah ini di pejabat. Kemudian aku tersedar , esok-esok di akhirat aku mencari penyanyi ini dan isterinya sampai menggelepar. Astaghfirullah...

Semoga Allah ampunkan aku.
Shidah...kau harus kembali kepada sikap asalmu...buat bodoh dan tidak tahu menahu. Itu lebih baik daripada kau jadi propa serba tahu.

Kejap lagi Isya'. Pergi wudhu' , solat dan istighfar banyak-banyak. Tak takut ke kena lanyak?

Ultimos adios !

Alahai telinga

Jam 3.46 , di Klinik Huang. Masalahnya nampak kelakar. Aku ada masalah pada pendengaran. Segala usaha pembersihan sudah kulakukan. Masih pekak lagi. Kesian tau.

Tahun lepas, gegendang telinga nyaris pecah. Sudah bengkak. Aku jadi sakit kepala. Berdenyut-denyut.
Kali ini belum sakit kepala lagi tetapi aku rimas apabila pendengaran bermasalah.
Cik doktor , saya datang lagi. Telinga masalah lorrr.

Masuk bilik doktor. Ku ceritakan masalahku . Aku dan doktor gelak bersama. Kuceritakan bahawa dalam kereta , radio berbunyi pada kekuatan 18 pun kurdengar sayup-sayup. Kalau kekuatan 8 langsung tak dengar. Kikiki. Kuceritakan juga hidupku terganggu oleh masalah ini.
Ohhh...najis telingaku jenis keras rupanya. Solluwax yang kugunakan sebelum ini tidak membantu. Doktor beri ubat titis. RM45 terbang di angkasa raya lalu berdesup masuk ke akaun klinik.

Tak apalah. Janji 'clear' naaa


Berhenti dulu. Lapar. Siapa nak temankan aku makan?

Ultimos adios.

Monday 21 August 2017

AKU INGIN MENULIS ; BERBICARA DENGAN DIRIKU SENDIRI

    Ketika sebuah karya selesai ditulis, maka pengarang tak mati. Ia baru saja memperpanjang umurnya lagi

Sunday 20 August 2017

Bas , aku dan kenangan

Sudah lama aku tidak menaiki pengangkutan awam bas. Dahulu itulah kenderaan paling kerap kugunakan. Ketika masih menuntut di SMK Benut dahulu dalam Tingkatan Enam ,akulah pelari pecut mengejar bas. Awal pagi perlu berkayuh basikal untuk ke simpang jalan yang jauhnya 2 kilometer dari rumahku. Betisku ketika itu , jangan cakaplah , halus tirus macam pelari pecut . Sebaik sampai di simpang depan kampungku , aku perlu parkir basikalku di deretan kedai. Kadang-kadang apabila nasib tidak menyebelahi , sebaik sahaja aku parkir , bas MAJU untuk ke SMK Benut pun berlalu. Aduh , aku perlu tunggu bas berikutnya sekitar jam 7.00 .Bermakna , aku mungkin akan lewat sampai kerana bas itu akan berhenti di banyak hentian bas sehingga ia padat melekat.

Apabila melanjutkan pelajaran di Institut Bahasa Kuala Lumpur (IBKL) , kini IPG Kampus BM , bas ekspress menjadi sahabat baikku . Ketika mahu mendaftar masuk ke IBKL itu , aku menaiki bas ekspress dari Pontian ke Puduraya bersama emak , kakak dan tiga anak saudaraku. Indahnya mengenang kembali detik itu . Zaman payah dan susah. Di Puduraya, abang iparku sudah menanti dengan Toyota Corolla lama. Duduklah kami berhimpit-himpit.

Tiga tahun di Kuala Lumpur , aku semakin mahir menggunakan bas. Bermula dari bas mini warna merah jambu yang kontot tetapi padat berisi kepada bas Intrakota berhawa dingin yang pemandunya berseragam warna putih macam ahli St John Ambulance . Naik bas mini banyak dugaannya. Banyak pencopet dan aku pernah jadi mangsa. Entah hidup lagi ke tidak pencopet itu tetapi aku maafkan dia. Setidak-tidaknya dia mengajar aku bagaimana mahu menguruskan diri jika dompet berisi  kad pengenalan dicuri. Terpaksalah aku belajar buat Kad Pengenalan baharu di Pejabat Pendaftaran Petaling Jaya nun. Kemudian , hiduplah aku sementara waktu dengan kad pengenalan sementara yang mudah rabak itu. Dari situ , aku kemudian ke BSN Puduraya , memaklumkan kehilangan kad bank. Payahnya hidup waktu itu jika kad pengenalan hilang;  hendak mengeluarkan duit yang secebis di BSN pun payah.
Bas mini Kuala Lumpur. Aku sempat menggunakan bas ini pada semester pertama pengajian pada 1996

 Bas Kl -Klang yang suka 'drama'
 Stesen Bas Klang , kini mungkin sudah tidak ada lagi . Suasana di sini tidak pernah sunyi.

Petaling Street - pernah beli kasut tumit tinggi  warna putih dan jam tangan Rolex Ayam brand di sini. 


Setiap hujung minggu aku akan ke Klang , rumah kakakku. Hurmmm , bas Klang di 'bus stand' Klang berdekatan Uda Ocean dan Petaling Street itu sangat banyak dramanya. Pemandunya selalu berteriak ' Klang, Klang, Klang ,Klang..... aaaa Klang, Klang, Klang...Klang sekarang jalan ...namun apabila kita masuk ke perut bas , setengah jam kemudian barulah bas bergerak. Puihhh , selalu kena tipu. Dalam bas itu , aku berasa seperti di Mumbai. Selain bau bunga tanjung yang kuat , lagu-lagu dari radionya juga lagu dari India Selatan. Kadang-kadang ada lagu Yadoon Ki Baraat tetapi paling kusuka apabila lagu Kuch Kuch Hota Hai kedengaran. Ketika itu , KKHH sedang meletup-letup. Maka, kakiku akan bergoyang-goyang dan bibirku mula berembit mengikut lirik lagu KKHH yang tidak pun kufahami.  Ada satu hari , abang iparku memberikan aku 'walkman'. Wow ! Itu sangat best waktu itu. Itu zaman kaset. Maka kubeli kaset Sudirman , album terakhir sebelum beliau wafat. Maka , setiap kali naik bas, 'walkman' , lagu Sudirman atau lagu-lagu dari radio menjadi temanku. Tidaklah kudengar lagu dari India Selatan lagi. Sellau benar aku hanyut larut dalam lagu-lagu itu. Agaknya kerana itu aku sedikit pekak kini . Hihihihi...

berhenti dahulu. sakit perut

ultimos adios !

Thursday 17 August 2017

Berkorban Apa Saja

Aku sedang bersendirian di pejabat kecilku ketika anak-anak didik tekun mentelaah dan mengulangkaji Bahasa Melayu UPSR bersama guru BM mereka ketika lagu ini tiba-tiba kedengaran di telinga. Slot untukku bersama anak-anak akan berlangsung pagi esok. Malam ini aku hanya menemani anak-anak yang perlu bermalam di sekolah untuk Pecutan Akhir Malam Bulan Dipagar Bintang Siri 2 ini.

Berbicara tentang program sebegini , saban tahun kulakukan dengan team berbeza. Yang tidak berbeza , akulah sahaja sejak 2013 apabila program ini kuperkenalkan di sekolah. Ia menuntut pengorbanan yang besar . Namun , apabila kita menjiwai kerjaya kita , pengorbanan itu tiadalah apa-apa kerana kita melakukannya kerana cinta.

Wahai Pemilik Segala Cinta , berkatilah perjuangan kami ini. Kami berkorban kerana kecintaan kami. Andai ada ganjaran untuk perjuangan pada jalan ilmu ini , KAU kembalikanlah ganjaran itu buat anak-anak dan generasi kami.

 Meladeni anak-anak menikmati makan malam sebelum Maghrib tadi.
Saban tahun , apabila program ini dijalankan , ada sahaja yang bermurah hati menyedekahkan makanan untuk anak-anak. Lumrah , anak-anak 'cepat lapar' apabila belajar bersama. Sedekah seperti inilah yang selalu menguatkan semangat guru-guru. Ia adalah sokongan moral yang sangat kami perlukan.



Jam menunjukkan pukul 9.41 malam. Berbaki 1 jam 20 minit lebih kurang sebelum slot BM berakhir dan sebentar lagi akan kudengar hiruk pikuk anak-anak seusai kelas.

Eh...belum sempat kelas BM tamat , YDP PIBG datang bersama isterinya menghantar roti puri untuk kami malam ini. Inilah bentuk sokongan dari pelbagai bentuk yang selalu menjadi nadi penguat kepada kami , guru-guru . Kuhentikan catatan ini untuk kembali fokus kepada persiapan untuk kelasku esok pagi.

Ultimos Adios !

Wednesday 16 August 2017

Banyaknya kita merindukan syurga tetapi menyimpang jalan ke neraka


aku tak mahu berbicara tentangnya kerana ramai benar yang begini , termasuklah aku.
Lupa
Lupa
Lupa
Lupa janji ketika roh ditupkan

Tuhan , aku pohon KAU maafkan

PERJUANGAN ITU JALANNYA PAHIT BERDURI

Hidup ini keras dan tidak mudah , tetapi aku jauh lebih keras dan tidak mudah ditewaskan. Itu kata-kata semangat yang kupegang dalam mengharung kehidupan penuh liku ini. Menjadi pendidik bukanlah mudah , kurikulum sentiasa berubah , teknologi begitu pantas bergerak sepantas detik yang berganti detik. Setiap tahun mendepani kelas peperiksaan , bergelut antara keinginan melihat anak-anak didik khususnya dan sekolah amnya mencipta sejarah kegemilangan dan kerenah anak-anak didik yang mencabar kesabaran.

Semoga Allah memberkati perjuangan ini. Aku tidak berharap agar perjalananku dipermudah , aku berharap agar aku dikurnia hati yang tabah.