Powered By Blogger

Sunday 31 May 2020

Tuhan , kuatkan aku.

Ada masanya susah benar menyusun kata untuk bercerita. Hati yang rapuh dan kolam air mata yang penuh selalu mengehadkan kekuatan hati untuk berkisah tentang gundah. Catatan ini pun beberapa kali cuba dimulakan sambil air mata terjun tanpa dapat dikawal dalam cuaca di luar yang medung dan suram.
Allah sedang menguji kita. Itu yang kumahu katakan pada suami ketika dia mengalirkan air mata menerima hakikat bahawa penglihatannya kini sudah gelap terus. Hanya kalimah itu tak dapat kuluahkan padanya kerana aku tak mahu air mata yang kutahan tumpah tanpa dapat ditaha lagi di hadapannya. Air mataku pasti akan lebih meluluhkan hatinya.
Cuba juga kukuatkan hati dan tampil tenang di hadapan keluargaku. Mungkin berjaya mengaburi  tetapi aku juga tahu mereka dapat menghidu kedukaan yang aku tanggung. Aku bukan pencerita lisan yang hebat . Aku selalu tewas oleh kerapuhan hatiku . Suaraku cepat saja bergetar mewakili perasaan yang terlindung.



Monday 22 July 2019

MEMORI LUKA , MEMORI SUKA

FB selalu suka bersentimental mengingatkan kita pada momen-momen yang pernah kita kongsikan pada dadanya suatu masa dahulu. Ironinya , kita sendiri tidak mahu ingat lagi akan sesetengah daripada memori momen itu.

Itulah hidup . Ada masanya kita menangis mengenang kembali momen yang dahulunya kita lalui dengan senyum tawa . Ada masanya kita senyum dan ketawa mengenang kembali momoen yang dahulunya kita lalui dengan air mata.


Monday 1 April 2019

Aku dan back pack

Aku tak ada dompet. Serius tak ada. Duitku bersepah-sepah dalam beg. Kadang-kadang selit dalam 'card holder' ,kadang-kadang dalam 'casing' telefon bimbit , kadang-kadang dalam kocek seluar. Selalu sangat dalam mesin basuh ada wang kertas RM1 , RM5 dan RM10 tercicir ketika kain baju kuambil selepas dicuci. Hand bag pun aku jarang pakai. Selalu sangat hand bag kutinggalkan dalam kereta. Yang selalu kuusung ke sana sini ialah back pack , tapi nak bawa back pack ke pasar raya tak boleh pulak. Silap-silap aku dikatakan perampok.
Okay , aku mesti cari dompet.
Terbayang dompet 'Alien' yang legend masa kecik-kecik dulu. Takkan nak beli dompet tu pulak

Wednesday 21 November 2018

MEMBURU KEMAAFAN

Maha Suci Allah yang dengan KEHENDAKNYA mentakdirkan pertemuan dengan seorang sahabat lama hari ini.

"Aku teringat-ingat padamu sejak sebelum ke Mekah lagi" katanya.
Dan sebenarnya aku juga teringat padanya, sangat ingat. Ada maaf yang hendak dipinta. Akhir-akhir ini, aku seakan terdesak hendak mencari kembali wajah-wajah yang pernah aku lukai dan sakiti. Ada kemaafan yang sangat aku perlukan.

Terlerai lah rindu kami di hujung dakapan yang membuat kami sama-sama menangis.

"Banyak salahku padamu" , katanya sambil kedua-dua belah tangannya memegang bahuku dan ketika itu empat mata kami bertemu. Ada redup kesayuan di situ.

"Aku juga, malah salahku padamu terlebih banyak lagi" , kataku. Tangannya kutarik dan genggam sebelum kemudiannya kuletakkan di dahiku. "Maafkan aku", kataku. Air mataku menitis dari tubir mata. Dia mengangguk dan dari matanya, kulihat ada air mata yang berkumpul di tebing matanya.

"Aku minta maaf juga padamu", katanya. "Aku terlalu ingin berbual panjang denganmu".

Kami mengakhiri pertemuan yang tidak dirancang itu dengan kelopak mata yang basah dan sejuta kemaafan . Tangisku bersambung di dalam kereta tetapi jauh di sudut hati, ada lega yang menenangkan jiwa. Sebahagian beban rasa bersalah terasa pergi bersama air mata petang ini.

Wahai Allah Yang Pengasih, kupohon KepadaMU, temukan lah aku dengan mereka yang pernah menangis dan terluka kerana aku. Berilah kesempatan untuk aku memohon kemaafan kepada mereka.

Tuesday 16 October 2018

KEEGOAN .

Setiap manusia ada egonya . Ya , ada ego. Aku juga ada egoku . Manusia di sekelilingku juga punya ego sendiri . Maka , aku belajar untuk bertabah berdepan dengan keegoan orang . Sejarah hidup masa lalu yang menyaksikan betapa keegoanku membunuh banyak jiwa tanpa kusedar.

Hari ini , mendepani manusia ego mengajarku untuk banyak bersabar . Tidak perlu melawan . Sama ada dia atau aku . kedua-duanya akan pergi jua . Persoalannya , hanyalah siapa yang mendahului , dia atau aku . Kalau dia , tindakanku melawan ego itu dengan egoku akan menyesakkan jiwaku dengan kekesalan . Kalau aku , aku tak mahu dia hidup penuh sesal kerana mempertahankan keegoan berbanding nilai sebuah persahabatan .

Tuhan , andai ini balasan untuk ego yang kupertahan selama ini dengan insan-insan yang pernah di sisiku , maka aku bertahan sabar mendepaninya .

Moga KAU ampuni aku dan dia juga .

Menghitung hari ...

Wednesday 3 October 2018

MAAF DAN KETENANGAN

Maafkan
bukan kerana dia layak untuk kemaafan
tetapi kerana kita layak untuk tenang .

aku maafkan kamu !

Tuesday 2 October 2018

TITIP KASIH BUAT INSYIRAH ( SEMPENA ULANGTAHUN KELAHIRANMU KE 13)

Sanah helwah , anakanda Alia Nur Insyirah.

Ummi dan abi mencintaimu hingga nafas terhenti

Kami bawa engkau kepada dunia
Agar engkau tahu warna dustanya
Kami ajari engkau tentang akhirat
Dengannya engkau selamat

Kami ajari engkau berdiri
Sebelum berjalan dan berlari
Agar langkahmu tak sumbang dan malu sendiri

Kami ajari engkau berdiri teguh
Dan bangkit tabah apabila jatuh
Kami ajari engkau maknanya 'kuat'
Agar mekar jiwamu dengan iman yang hebat

Kami ajari engkau erti manusia
Agar kau tahu memaknakan kemanusiaan
Kami ajari engkau tabah meski ditinggal mati
Agar kau kuat saat kami pergi

Kami ajari engkau berkorban
Agar kau kenal manisnya pengorbanan
Kami ajari engkau cekal
Agar kau faham nikmatnya tawakkal

Dewasalah engkau , wahai anak
Dengan jiwa tenang tidak bergejolak
Beriman teguh
Akhlak utuh
Mudah memaaf
Sedia berkorban
Agar nanti
Kau disayangi Tuhan.