Powered By Blogger

Wednesday 27 September 2017

Insyirah , anakku sayang.

Agak lama tidak menulis di sini. Sibuk. Itulah dia. Menjelang UPSR yang baru selesai dua minggu lalu , hidupku bagai lebah yang sangat sibuk mengumpulkan madu. Aku sibuk dengan persiapan menyediakan anak-anak didikku termasuklah anakku untuk UPSR itu. Perasaan ? Sedikit gusar kerana UPSR ini agak pelik. Soalannya kadang-kadang tak dapat dijangka dan duga , maka aku persiapkan anak-anakku selengkap-lengkapnya , aku korbankan masa rehat dan cuti hujung mingguku untuk mereka walau dalam keadaan sedikit demam.

Pada minggu UPSR , aku kira itu adalah minggu di mana aku sangat pasrah dan tawakkal kepada Allah. Aku berpuasa sepanjang anakku menduduki UPSR itu. Di sekolah , sepanjang tempoh itu , hidupku di surau. Solat , doa dan rintih kepadaNYA. Aku mohonkan yang terbaik untuknya dalam linangan air mataku.

Melihat dia keluar dari dewan dengan senyuman , redalah gelisahku. Tidak ada ibu dan bapa yang tidak mahu melihat anaknya berjaya. Aku harapkan agar anakku ini berjaya di dunia dan akhirat. Dikurniakan kekuatan  jiwa dan keteguhan iman untuk menempuh gelombang hidup pada zaman yang memperlihatkan bahawa haq dan batil itu semakin samar di pandangan , semakin dikaburkan .

Suatu malam , dia tertidur kelelahan selepas ulangkaji Matematik. Aku merapatinya. Di sebelahnya ada sebuah buku , buku catatan nota-nota belajarnya. Kuambil buku itu , kubelek dan kutemukan catatannya yang meruntun hatiku...

Ya Allah , permudahkanlah aku menjawab soalan . Permudahkanlah juga kawan-kawanku. Ya Allah , permudahkanlah urusan ibu bapaku. Kau jagalah mereka sebaik-baiknya. Aku sangat sayang mereka. Ya Allah , Kau jagalah adikku.Aku sangat sayang adikku.

Itu catatannya.

Yang paling menyentuh hatiku , doanya untuk adiknya , adiknya yang telah pergi mendahuli kami . Kufikirkan dia sudah lupa detik itu , detik kami kehilangan adiknya. Ketika itu , dia masih kecil , baru empat tahun.

Ya Allah , KAU jagalah puteriku ini. Dia satu-satunya permata hatiku di dunia ini...