Blog ini bertukar nama.
Alkisahnya , pada tahun 2013 , aku sedang belajar sebagai mahasisTUA di IPGKTI . Semester itu , aku perlu belajar Teknologi Pendidikan . Salah satu tugasannya ialah menghasilkan laman web atau blog. Memang terdengar keluhan dari kakak-kakak senior generasi X , aku yang lahir di penghujung geenerasi X ini mungkin ada sedikit kelebihan kerana aku memang minat benar dengan ICT. Aku memang suka benar 'menggodeh' komputer , menggodeh laman web , mencuba apa sahaja tentang ICT. Dahulu semasa di IPGKBM untuk kursus asas perguruan sekitar tahun 1996 , aku pernah menangis kerana tak dapat menyiapkan slide powerpoint seperti kehendak pensyarah . ICT asing bagiku ketika itu.Rakan kelasku yang duduk di sebelahku juga menangis kerana dia juga sepertiku,. Buta ICT.
Apabila mula berkhidmat sebagai guru , komputer pun aku tak punya. Aku gunakan komputer sekolah untuk menyiapkan soalan. Untuk itu , aku datang awal , sekitar jam 10 pagi walaupun aku bekerja pada sesi petang. Tujuannya , untuk buat soalan peperiksaan . Apabila sudah sedikit mantap , aku beli komputer sendiri. Mulalah aku menggodeh hingga mahirlah menggunakan powerpoint dan excell. Tahun 2003 , aku berpindah ke SKAJA ini , kerana stigma aku pernah mengajar di sekolah menengah , Guru Besar meminta aku menjadi guru ICT , menjaga bilik komputer. Ketika itu , sekolah ini baru sahaja menerima 12 komputer meja lengkap dengan pengimbas dan pencetak. Bilik komputer juga baru siap diubahsuai dilengkapi pendingin hawa. Dari situlah aku semakin rapat dengan dunia ICT. Bilik komputer tempatku memerap dan mengeram. Malah pernah aku terkena renjatan elektrik pada kadar rendah ketika cuba menukar fius switch AVR kerana lupa menutup suis dan dalam masa sama aku memakai jam tangan jenis besi ( besi ek ). Aku berjaya menghasilkan blog sekolah , secara senyap-senyap secara cuba jaya . Aku tak pernah mengikuti kelas menghasilkan blog dan aku bukanlah blogger pun.
Maka apabila pensyarah meminta smeua pelajar menghasilkan laman web atau blog , aku agak tenang kerana pengalaman menghasilkan blog sudah ada. Kuhasilkan blog ini dengan nama Bahasa Bangsaku Melayu kerana pada awalnya pensyarah mahukan sebuah laman web tentang bahasa. Menghasilkan blog ini pun sebenarnya masih lagi atas konsep cuba jaya.Sebaik sahaja blog ini siap , kutunjukkan pada dua orang sahabat karibku di sekolah , Siti Zainab dan Nooaini. Kedua-duanya rupa-rupanya tidak pernah pun menghasilkan blog dan terpesona dengan bloggku ( bangga riak le tu )
Pada kuliah kedua semester itu , apabila pensyarah memaparkan progress penghantaran alamat laman web/blog secara online , namaku terpapar antara penghantar awal. Blog ini dipaparkan dan pensyarahku ketika itu tertarik dengan nama yang kupilih. Ketika itu , ramai lagi yang belum dapat menghasilkan laman web / blog masing-masing. Keluhan kakak-kakak kedengaran lagi dan ramai antara mereka kemudiannya mengupah Penyelaras Bestari sekolah masing-masing untuk menghasilkan blog. Ketika itu , kami belum pun kenal rapat walaupun sekelas. Almaklum , kuliah kami sebulan sekali.Tambahan pula , perawakanku yang serius menyebabkan aku kelihatan sukar dihampiri walaupun aku agak lucu sebenarnya. Atas rasa simpati , kubantu salah seorang dari rakan kelasku untuk menghasilkan blognya . Aku menolong dengan rela hati , sambil itu aku dapat memperkasa kemahiranku dalam dunia blog ini. Semester 3 itu berakhir dengan jayanya .Tak perlu sebut berapa pointer kuperoleh. Nanti aku kembang macam belon. Selesailah di situ. Sejak itu , blog ini terbiar macam bangunan Kemayan cuma tidak berhantu tambahan pula aku semakin sibuk kerana saban tahun terlibat dengan kelas peperiksaan.
Hinggalah 16 Ogos lalu apabila tergerak membuka blog ini semula , mulanya kukira aku lupa kata laluannya. Email Gmailku memang auto saved dalam laptop ini. Apabila kutaip www.blogger.com , blog ini terpapar. Oh , my blog ! Sejak itu , blog ini hidup kembali dan ingin kujadikan catatan perjalanan hidup ; travelog hidupku. Suatu hari , akan terbaca oleh anakku atau oleh anak didikku.
Aku cuba berbahasa sebaik-baiknya dalam blog ini sambil sesekali berbahasa pasar untuk menambah variasi . 5 tahun lagi aku mahu tulisan-tulisan ini menjadi seakan catatan kepada berubahnya bahasa. Sayugia diingatkan , aku tidak gemar bahasa hipster malah selalu gagal memahami apa yang ditulis oleh budak-budak hipster - titew ,naque , awaq , bhaper ,nyew ...ahhhh pitam aku . Paling aku benci , anak-anak sekolah terpengaruh dengan langgam bahasa dan ejaan ini. Maka , rosaklah bahasa .
Hurmmm... petangi ini ada taklimat di PPD , aku pula berpakaian Pandu Puteri . Malasnya mahu bersalin baju kurung . Ish...itu tiada kaitan dengan perubahan nama blog ini.
No comments:
Post a Comment