Powered By Blogger

Sunday, 20 August 2017

Bas , aku dan kenangan

Sudah lama aku tidak menaiki pengangkutan awam bas. Dahulu itulah kenderaan paling kerap kugunakan. Ketika masih menuntut di SMK Benut dahulu dalam Tingkatan Enam ,akulah pelari pecut mengejar bas. Awal pagi perlu berkayuh basikal untuk ke simpang jalan yang jauhnya 2 kilometer dari rumahku. Betisku ketika itu , jangan cakaplah , halus tirus macam pelari pecut . Sebaik sampai di simpang depan kampungku , aku perlu parkir basikalku di deretan kedai. Kadang-kadang apabila nasib tidak menyebelahi , sebaik sahaja aku parkir , bas MAJU untuk ke SMK Benut pun berlalu. Aduh , aku perlu tunggu bas berikutnya sekitar jam 7.00 .Bermakna , aku mungkin akan lewat sampai kerana bas itu akan berhenti di banyak hentian bas sehingga ia padat melekat.

Apabila melanjutkan pelajaran di Institut Bahasa Kuala Lumpur (IBKL) , kini IPG Kampus BM , bas ekspress menjadi sahabat baikku . Ketika mahu mendaftar masuk ke IBKL itu , aku menaiki bas ekspress dari Pontian ke Puduraya bersama emak , kakak dan tiga anak saudaraku. Indahnya mengenang kembali detik itu . Zaman payah dan susah. Di Puduraya, abang iparku sudah menanti dengan Toyota Corolla lama. Duduklah kami berhimpit-himpit.

Tiga tahun di Kuala Lumpur , aku semakin mahir menggunakan bas. Bermula dari bas mini warna merah jambu yang kontot tetapi padat berisi kepada bas Intrakota berhawa dingin yang pemandunya berseragam warna putih macam ahli St John Ambulance . Naik bas mini banyak dugaannya. Banyak pencopet dan aku pernah jadi mangsa. Entah hidup lagi ke tidak pencopet itu tetapi aku maafkan dia. Setidak-tidaknya dia mengajar aku bagaimana mahu menguruskan diri jika dompet berisi  kad pengenalan dicuri. Terpaksalah aku belajar buat Kad Pengenalan baharu di Pejabat Pendaftaran Petaling Jaya nun. Kemudian , hiduplah aku sementara waktu dengan kad pengenalan sementara yang mudah rabak itu. Dari situ , aku kemudian ke BSN Puduraya , memaklumkan kehilangan kad bank. Payahnya hidup waktu itu jika kad pengenalan hilang;  hendak mengeluarkan duit yang secebis di BSN pun payah.
Bas mini Kuala Lumpur. Aku sempat menggunakan bas ini pada semester pertama pengajian pada 1996

 Bas Kl -Klang yang suka 'drama'
 Stesen Bas Klang , kini mungkin sudah tidak ada lagi . Suasana di sini tidak pernah sunyi.

Petaling Street - pernah beli kasut tumit tinggi  warna putih dan jam tangan Rolex Ayam brand di sini. 


Setiap hujung minggu aku akan ke Klang , rumah kakakku. Hurmmm , bas Klang di 'bus stand' Klang berdekatan Uda Ocean dan Petaling Street itu sangat banyak dramanya. Pemandunya selalu berteriak ' Klang, Klang, Klang ,Klang..... aaaa Klang, Klang, Klang...Klang sekarang jalan ...namun apabila kita masuk ke perut bas , setengah jam kemudian barulah bas bergerak. Puihhh , selalu kena tipu. Dalam bas itu , aku berasa seperti di Mumbai. Selain bau bunga tanjung yang kuat , lagu-lagu dari radionya juga lagu dari India Selatan. Kadang-kadang ada lagu Yadoon Ki Baraat tetapi paling kusuka apabila lagu Kuch Kuch Hota Hai kedengaran. Ketika itu , KKHH sedang meletup-letup. Maka, kakiku akan bergoyang-goyang dan bibirku mula berembit mengikut lirik lagu KKHH yang tidak pun kufahami.  Ada satu hari , abang iparku memberikan aku 'walkman'. Wow ! Itu sangat best waktu itu. Itu zaman kaset. Maka kubeli kaset Sudirman , album terakhir sebelum beliau wafat. Maka , setiap kali naik bas, 'walkman' , lagu Sudirman atau lagu-lagu dari radio menjadi temanku. Tidaklah kudengar lagu dari India Selatan lagi. Sellau benar aku hanyut larut dalam lagu-lagu itu. Agaknya kerana itu aku sedikit pekak kini . Hihihihi...

berhenti dahulu. sakit perut

ultimos adios !

No comments:

Post a Comment