Powered By Blogger

Sunday, 27 August 2017

Perang Pagi

Mengejutkan anak pada waktu pagi memang payah. Anak bagai terbungkus rapi dalam selimut , meringkuk dalam sejuk subuh. Makin dikejut, makin meringkuk. Benarlah , bangun pagi untuk solat subuh adalah peperangan jiwa yang besar.

Pernah kubaca satu entri yang katanya satu kesilapan besar bagi ibu bapa adalah gigih mengejutkan anak bangun pagi untuk ke sekolah , bukan untuk solat Subuh. Maka itu , anak-anak seakan terdidik bahawa bangun pagi adalah untuk ke sekolah sahaja , cuti sekolah boleh bangun lewat. Itulah persepsi salah yang banyak ibu bapa terapkan secara tidak sengaja kepada anak-anak. Maka apabila anak-anak itu besar dan bekerja , mereka bangun pagi untuk bekerja pula dan lewat bangun pada hari cuti. Tidak terasa kebertanggungjawaban bahawa bangun pagi itu adalah untuk solat Subuh .

Akhirnya wujudlah generasi yang bangun paginya hanya untuk menyelesaikan tanggungjawab duniawi.

No comments:

Post a Comment