Ke pejabat pagi ini untuk menandatangani beberapa dokumen . Sementara menanti Pembantu Tadbirku menyiapkan dokumen-dokumen itu , aku menikmati halwa telinga dari lagu-lagu lama , lagu-lagu kenangan semasa kecil , ada antara lagu itu sebenarnya adalah lagu kesukaan abang yang selalu dimainkannya sambil belajar. Aku yang masih kecil ketika itu , tumpang mendengarnya sehingga hafal lirik dan melodinya .
Mendengar lagu-lagu itu , aku terbayang keadaan rumahku yang usang. Terbayang arwah bapak yang bekerja keras untuk membesarkan kami adik beradik. pagi-pagi lagi arwah bapak sudah keluar untuk menoreh di kebun tauke Cina di kampungku. Emak pula menoreh di kebun kami. Setelah siap menoreh di kebun kami , emak akan menolong bapak pula , kadang-kadang aku ikut serta. Susu getah yang telah penuh dalam cawan akan dimasukkan ke dalam baldi dan dibawa ke tempat memproses getah. Aku tidak ingat bagaimana susu-susu itu diproses kemudiannya menjadi kepingan. Yang aku ingat , sebulan sekali aku akan membantu emak memungut ojol di kebun kami. Apabila ojol dijual kepada peraih , emak akan mengupahku RM5. Aku juga masih ingat , setiap bulan apabila musim mengira getah , arwah bapak akan membawa pulang belanja dapur . Ketika ini , aku akan meminta sepeket Milo...peket kecil seperti 'sachet' minuman 3 in 1 sekarang. Seronoknya dapat makan Milo. Kata kakak , aku suka sangat makan Milo ketika kecil dahulu.
Kesusahan hidup semasa kecil selalu ingin kuceritakan kepada anakku. Dia yang besar dalam keadaan selesa dan serba ada tentunya tidak dapat merasai denyut kesusahan itu. Selalunya , apabila teringat akan kesusahan-kesusahan itu , air mataku bergenang. Aku teringat arwah berkayuh basikal ke pekan kecil yang jauhnya 2 kilometer untuk mencari ikan dan sayur. Aku teringat arwah menghantarku ke sekolah pada jam 5 pagi untuk pergi ke Arkib Negara Kuala Lumpur bersama pengetuaku sebagai persiapan ke pertandingan Kuiz Perdana peringkat negeri pada tahun 1991. Aku teringat arwah menunggu ketibaanku di hentian bas seawal jam 12.30 malam meskipun bas yang kunaiki hanya tiba jam 3 pagi !. Apabila telah punya anak , aku tahu kenapa dia menunggu sebegitu awal - mahu pastikan keselamatanku !. Mengenangkan itu, kadang kala , air mata ini tak dapat kutahan-tahan daripada meluncur di pipi. Sungguh jauh dikau pergi....berpisah untuk selamanya , tiada lagi senyum mesra dan gurau senda ...
No comments:
Post a Comment