Powered By Blogger

Thursday, 24 August 2017

DALAM GAJIKU ADA REZEKI ORANG

Hari ini gaji. Rutin, ke bank keluarkan ringgit Malaysia yang semakin hari semakin rendah nilainya . Dari bank , terus ke Econsave membeli sedikit barang dapur , kubeli juga keledek ungu yang kukira mungkin manis , bolehlah direbus esok untuk sarapan abangku yang sedang merenovasi rumah pusaka ayahanda. Kubeli juga sedikit jajan untuk makanan anak-anak didikku semasa kelasku esok...memang cuti sudah bermula tetapi aku bimbang melepaskan mereka tanpa ikatan kelas memandangkan UPSR berbaki 20 hari,

Dalam cuti ini pun masih ada kelas lagi . Ahad dan Isnin , anak-anak didikku perlu ke SMA Bugisiah untuk program anjuran PPD . Selasa , kelasku dan Rabu kelas Matematik bersama Guru Besarku. Berkorban masa cuti sudah terlalu biasa bagiku. Cuma kali ini aku terfikir untuk berehat tahun depan, aku macam mahu berehatlah , menikmati cuti  , setidak-tidaknya membebaskan diriku daripada tekanan. 👧👧👧👧👧 . Aku harap aku tidak berubah fikiran 😇😇😇😇😇 sebab selalunya aku kata aku penat , tak mahulah ajar kelas UPSR tahun depan , tetapi apabila tahun depan itu sampai , aku mengajar lagi 😆😆😆😆😆.

Baiklah , dalam kocekku ada sedikit duit. Duit gajiku. Ada rezeki emak di situ . Aku bangga dapat memberi emak duit kocek setiap bulan.  Ada rezeki anakku di situ. Ada rezeki anak didikku di situ dan mungkin ada rezeki penjual ikan, penjual sayur , pekedai runcit dan siapa-siapa lagi yang ditakdirkan Allah.

Untukku , hanyalah apa yang kubelanjakan untuk diriku. Niat nak beli jam tangan Baby G tadi , tak jadi lah. Minggu depan nak mengambil anak-anak didik dari SMA Bugisiah selama dua hari itu perlukan minyak petrol . Minyak petrol mahal sekarang. Sejak lima minggu lepas , naik mencanak-canak. Aku rasa semakin lama nanti semakin ramai orang jadi kurang siuman sebab tekanan ekonomi ini. 

Lagipun bulan depan hari lahir anak. nak belikan dia hadiah , buatkan majlis ringkas. Maklum , anak tunggal. Oh...tabungan untuk anak bulan ini belum kulakukan !.

Oh , terlupa ... semalam GB memanggilku ketika aku baru sahaja sampai di sekolah. Dimintanya aku membuka pintu kereta , ada barang nak bagi katanya. Sebentar dia membuka boot kereta dan mengeluarkan kotak kipas siling jenama Panasonic. " Bagi emak awak" , katanya. Sebenarnya memang aku berniat hendak membeli kipas siling untuk bilik emak yang sedang dalam pembinaan. Semalam GB ada menanyakan progress renovasi rumahku. Rupa-rupanya dia hendak menghadiahi emak kipas itu. Rezeki emak...

Ya Allah , mengantuknya . Tadi baru menyelesaikan analisis SWOT peperiksaan percubaan . Boleh lena lepas ini.

No comments:

Post a Comment