Powered By Blogger

Wednesday, 15 August 2018

A POEM TO MY JERRY

The moment I missed my Jerry
Lonely!
Feel alone !

Once , we teased each other
We chased each other
We 'knocked down' each other
Yet , we laughed together.

We argue all the time ; Yes .
We disagree all the time ; Yes
Yet, we need each other.

I miss my Jerry .
Miss you .
Much .

Tuesday, 7 August 2018

MISIKU FAIL

Lama tak menulis. Sibuk . Dihambat masa . Eh , tidak juga. Rasanya hantaran terakhir ke blog adalah pada minggu lepas tetapi itu pun dalam B.Inggeris ketika kepala sendat sarat dengan tekanan . Rupanya bila terlampau tertekan , aku jadi bebal tak dapat menyusun perkataan dalam BM ( eleh ,cakap aje ko sebenarnya tak dapat nak luah dalam BM sebab engkau tu kekal perahsia) .

Satu dua minggu lepas , sangat sibuk . Dua minggu berikut ini pun masih sibuk . Sibuk dengan fail memail . Ada misi peribadi yang hendak diselesaikan biar seberapa payah pun. Lalu kerana sibuk itu , rutin kerja berubah , dunia menjadi satu timbunan fail yang minta dikemaskini. Makan minum sedikit 'berterabur masanya". Kadang-kadang macam hidup dalam zaman prasejarah yang doboh , tolol dan kuno - zaman bercakap sendiri, bercakap dengan fail , dengan stapler , dengan speaker , dengan pen yang selalu dicari tak jumpa rupa-rupanya terselit di celah tudung adanya . ( menyelitkan pen / pensel di celah tudung tu salah satu daripada beberapa bentuk 'escapisme' yang tak  berubah-walau umurmu bertambah). 'Escapisme' . Teringat seorang kawan berpangkat adik yang sangat meneliti tingkah laku manusia. Dialah yang 'menangkap'  beberapa bentuk escapisme aku bila berdepan situasi tak terduga atau ketika hilang perkataan untuk bicara terutama dalam bahaslah kerana aku seorang pembahas dahulu. Katanya ini antara escapisme aku :
1. gosok hidung - tanda aku lost contact dengan akal untuk cari perkataan
2. ketuk meja / gosok dahi bila berfikir
Sejak itu , aku cuba kawal kononnya untuk elak 'escapisme' itu , tak tahu berjaya atau tidak . Kalau teringat , bolehlah dikawal , kalau tidak , kantoi lah. Kawanku ini kini guru kaunseling di sekolah menengah dan kami masih berhubung walaupun tidak selalu.

Minggu ini , ada misi 66 buah fail perlu dilunaskan. Perlahan-lahan , aku yakin aku mampu melunaskannya asal sahaja Allah beri aku sihat dan sekepal semangat . Sehingga tadi , selesai sudah mewujudkan 66 fail itu dan kertas minitnya . Tinggal lagi mencari surat-surat dan dokumen berkaitan untuk mengembungkan fail pipih putih itu. Wow , tadi dah top up stok 'maggi' goreng , makcik kantin akan kuminta siapkan makanan dan minuman untuk aku lulurkan ke perut selepas jam 1 petang. Jadi , masalah kebuluran tidak akan timbul , mana boleh jadi makan Twisties hari-hari , nanti sakit gigi ( ❓😁❓😁❓).

Mudah-mudahan , sebelum cuti sekolah minggu depan , fail pipih putih yang jumlahnya 66 itu akan berdokumen ; kalau pun tidak semua , 3/4 daripadanya. Cuma aku minta sihat dan kuat .Kuat semangat dan kusssmangattt . Nanti kalau sudah siap , aku akan reward diri dengan tidur puas-puas . ( 😉😉😉🔰🔰)

Wednesday, 1 August 2018

Assalamualaikum , empat puluh tiga .

Assalamualaikum , empat puluh tiga
moga ada ceria di hujung duka
setelah semalam air mata  tumpah di hujung tawa
di depan , lembar penuh warna warni setia menanti
untuk ditatap hadap dengan berani

assalamualaikum empat puluh tiga
selamat tinggal empat puluh dua
mari renungi cerita tua
tentang kudrat yang menipis
dan sihat yang terhakis
mari renungi cerita tua
tentang pintu kuburmu yang makin terbuka

assalamualaikum
empat
puluh
tiga

Sunday, 29 July 2018

TOTALLY BROKE

My heart was broken
Broken into pieces

totally broke

No matter how I try
the pieces never fit the way they did before .

Hatiku pecah berkeping-keping...

Saturday, 19 May 2018

MENTAFSIR DAN DITAFSIR .

17/05/18
1 Ramadhan 1439 Hijrah

Catatan blog hari ini tidak menyentuh hal politik ,  biarkan undang-undang menjalankan kerjanya asalkan berpaksi pada keadilan . Ketika catatan ini dibuat , seantero negara heboh dengan isu penggeledahan kediaman seorang VVIP setelah parti komponennya ditumbangkan dalam PRU 14. Aku pun semak dengan kisah-kisah begini . Sementara menunggu kain dikeringkan dalam mesin pengering di dobi layan diri ini , aku memerhatikan tingkah laku manusia yang ada di dalam premis ini sambil dalam sedar aku sendiri diperhatikan.

Catatan ini adalah tentang bagaimana manusia mentafsir manusia.

Raut yang serius selalu memberi tanggapan dan impresi sombong kepada pemiliknya. namun sebelum membuat konklusi sebegitu pantas, dekati dahulu, lalui dahulu pengalaman dengannya, kemudian tafsirlah apa sahaja. Orang yang serius itu jiwanya halus tau ! Jika kena caranya, dia dapat didekati dan kau akan selesa dengannya. Sesekali jika dia menekuni kerjanya, memang payah benar dia mahu tersenyum, gerak dan  jelingan matanya cukup memberi isyarat dia mahu fokus tanpa banyak gangguan, tetapi jika kau 'bijak', dia masih mahu bergelak.

Sekian kelas mentafsir hari ini. Kelas ini bersambung pada tarikh tak dapat ditetapkan. Jangan alih stesen anda.

@ MyDobi , Benut

AKU DAN PILIHANRAYA

15 MEI 2018 .

CATATAN 2 .

Catatan kali ini lebih kepada catatan tentang politik dan bagaimana ia mempengaruhi pemikiranku. Catatan ini akan mengambil masa beberapa hari untuk selesai dan merputus-putus kerana idea tidak selalu datang. Ketika catatan ini dimulakan , aku baru selesai makan roti telur bersama seorang rakan , berbeza aliran politik tetapi tidak menjadikan itu sempadan pada persahabatan .

Aku mula membaca tentang politik ketika masih kecil lagi. Gila ? Tidak. Matang melebihi usia ? Juga tidak. Aku baca buku , artikel dan akhbar pihak yang tidak sealiran dengan pemerintah kerana itulah bahan bacaan yang aku ada di rumah . Siapa punya ? Abang...dan dia tidak pernah menghalang aku membacanya. Menginjak ke sekolah menengah , aku masih dengan bahan bacaan berhaluan kiri itu . Pada tahun 1988 apabila UMNO diharamkan dan kemudian tertubuh UMNO yang baharu manakala serpihannya menubuhkan Semangat 46 , aku agak keliru apa yang berlaku sehinggalah guru sejarahku ketika aku di Tingkatan 3 dengan linangan air mata berkisah tentang perjuangan UMNO menentang Malayan Union pada tahun 1946 . Ia menyuntik satu semangat dalam diri , tak tahu apa tetapi pada waktu itu aku percaya bahawa orang Melayu mesti bersatu . Selepas itu aku jadi seperti lalang , tidak ada pendirian teguh pada politik sehinggalah memasuki institut perguruan di Kuala Lumpur. Di situ , lebih terdedah pada arus pembangunan dan desir-desir politik kerana ketika itu , seingatku pada Perhimpunan Agung Umno (PAU ) 1998 , ada suara penentangan dari dalam UMNO terhadap kepimpinan pada masa itu . Korupsi , kronisme dan nepotisme (KKN) menjadi isu yang menyembilu parti. Sayugia diingatkan , aku bukan ahli UMNO ketika itu ( dan kini juga). Rentetan itu tidak lama kemudian , bertebaran buku bertajuk 40 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM , yang aku kira merupakan serangan balas terhadap kritikan lantang tokoh itu dalam PAU tersebut. Iklim politik ketika itu panas sepanas Kuala Lumpur ketika itu yang pernah mencecah 39 darjah celcius. Sehingga itu pun , aku masih lalang tidak berpendirian tetapi isu itu kuikuti saban hari . Media berhaluan kiri menjadikannya isu melariskan jualan . Pernah aku beli majalah berhaluan kiri dengan tajuk 'PERANG SUDAH BERMULA' yang merujuk kepada pergolakan pimpinan UMNO itu. Sayangnya , majalah itu yang kubaca kulit ke kulit tidak lagi dalam simpanan .

5.00 PETANG : berhenti sekejap - harus ke hospital menjenguk sahabat yang sakit sejak beberapa hari.

Sunday, 13 May 2018

AKU DAN PILIHANRAYA


CATATAN 1.

09/05/2018
510 am - bertolak ke Masjid Jame' Pontian kerana telah berjanji dengan Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk solat Subuh di sini sebelum ke Dewan Jubli Intan bagi mengambil peti undi. Memandu meredah dingin pagi ditemani suami , anak dan seorang anak saudaraku dalam keadaan jiwa berasa sangat berdebar - ini kali pertama aku bertugas sebagai petugas SPR ; itu pun atas permintaan KTM - mudah  berurusan dan bekerja denganku katanya. Sebaik tiba di masjid , aku bersalam dengan anak dan suami , mohon doa agar dimudahkan pekerjaanku hari itu. Anak saudaraku memandu keretaku pulang ke rumah dan aku dijadualkan bergerak satu kereta dengan KTM.

Masuk ke perut masjid , terasa suatu ketenangan . Usai solat , itulah saat paling tawakkal aku mohonkan agar Allah memudahkan urusanku dan rakan-rakan petugas SPR serta sahabat-sahabat pengundi . Aku mohonkan juga agar tanah air ini diselamatkan daripada pemerintah yang kejam ... Ya...air mata berjatuhan.

Segera keluar dari masjid dan terus menemui KTM yang telah memaklumkan lokasi kenderaannya di parkir. Parkir sekitar masjid agak penuh , kebanyakan jemaah subuh itu ialah petugas SPR juga.

Dari masjid ke Dewan Jubli Intan tidaklah jauh. Kenderaan sudah banyak di parkir hadapan dewan. Mata segera mencari lokasi peti undi yang diamanahkan kepada kami. Dua orang anggota polis menunggu di situ. Selepas menandatangani beberapa dokumen , peti undi kami angkat ke perut kereta dengan iringan dua orang polis tadi. Ya...ini pengalaman baharu yang mengujakan . Tentu banyak yang Allah mahu aku belajar hari itu .

Pengundian berlangsung dengan tenang dan aku juga melaungkan nama pengundi dengan tenang tetapi lantang sesuai dengan keperluan memastikan suara itu dapat didengari ejen parti yang bertanding. Rupanya-rupanya suara itu masih dikenali penduduk setempat yang mengundi di situ. "itu suara cikgu shidah tu" , itu yang kudengar dari luar . Seorang pengundi masuk - ibu bekas pelajarku sebenarnya , sambil menghulur tangan dia berbisik , "akak kenal suara cikgu , rindu suara cikgu" , dan aku yang jarang serius dengan masyarakat di situ sekadar mengusik sambil mengenyitkan mata "nak saya nyanyi ke"?. 15 tahun di situ menjadikan masyarakat di situ sangat dekat di hati dan hari itu kami ditemukan dalam suasana berbeza tetapi tetap mesra.  Dibatasi formal , aku tetap mengusik pengundi terutama ketika ingin memastikan wajah mereka sama seperti dalam kad pengenalan.  Seketika ketenangan berkocak apabila muncul seorang lelaki mirip arwah bapakku , dialah abang arwah bapak . Bergetar suara tenangku ketika menyebutkan nombor mykad dan namanya. Getar suara yang dapat dibaca rakan petugas di sebelahku . Ketika itu seakan wajah arwah bapak bersilih ganti di retina mata yang cepat benar pula bergenang di dalamnya. Mujur selepas pakcik , tiada pengundi lain datang dan itu memberi ruang untukku mengembalikan kestabilan fikiran . Ya...dalam adik beradik , aku selalu dicap sebagai manusia tanpa reaksi , selalu seakan tidak ambil peduli dunia lain , selalu hidup dalam dunia sendiri - buku dan tidur , tidur dan buku. Kalau aku tidak ada dalam sesi sembang-sembang ketika kami berkumpul , carilah aku di dalam bilik , itulah sama ada aku ralit dengan buku atau tidur dengan tenangnya. Itulah dua hobi yang payah ditinggalkan sejak muda-muda dulu.

Pengalaman bersama anak murid berbangsa Cina semasa di SMKDAHA turut membantu memudahkan tugasku sebagai petugas SPR. Berdepan pengundi berbangsa Cina yang telah berusia memerlukan sedikit pengetahuan dalam bahasa Mandarin yang mudah-mudah untuk aku memberikan arahan kepada mereka bagaimana perlu dilakukan untuk membuang undi. Nyatalah tidak sia-sia Allah menentukan takdirku berkhidmat di SMKDAHA dahulu dan kemudian diberikan kelas yang dipenuhi murid Cina.
Proses pembuangan undi berakhir tepat jam 5 petang dengan 82% daripada 538 pengundi berdaftar di situ keluar mengundi. Pengiraan undi itu sangat memenatkan apatah lagi memang kami sudah penat. Sejam mengira undi sambil berdiri menguji kekuatan mental dan fizikal ; menguji mental apabila parti yang kusokong bersaing dengan sengit dengan parti lawan. Menguji fizikal apabila badan mula memberi isyarat ia sudah keletihan. Tambah menguji apabila pengiraan terpaksa dibuat semula setelah terdapat perbezaan pada jumlah undi setiap parti dengan,jumlah sebenar kertas undi yang dikeluarkan . KTM cukup tenang menanganinya dan akhirnya masalah dapat diselesaikan. Semua petugas pulang kecuali aku dan KTM yang perlu memulangkan peti undi ke Dewan Jubli Intan diiringi polis selepas solat maghrib.

Suasana di hadapan dewan meriah. Banyak kenderaan , ramai orang , masing-masing mahu tahu keputusan dan meraikan kejayaan parti yang disokong. Bohong kalau aku katakan hati tidak melonjak ketika nampak kumpulan dari partiku , tetapi sebagai petugas SPR aku dikehendaki bersifat neutral. Agak lama juga proses pemulangan peti undi itu tetapi itulah peluang untuk aku melihat suasana di pusat pengumpulan peti undi . Ada 3 papan layar di situ memaparkan keputusan terkini undi bagi 2 DUN dan 1 Parlimen . Dapatlah aku gambaran bahawa terdapat pola perubahan pengundi . Isu-isu semasa yang panas ketika ini menyemarakkan penolakan terhadap pemerintah meskipun pengundi dijanjikan keindahan. Aku kira ketika itu pengundi tidak lagi melihat siapa dan rupa bangsa calon sebaliknya mengundi parti yang dapat menurunkan pemerintah .
Jam 930 malam barulah selesai urusan di dewan dan kami bergerak pulang sebelum menyaksikan sekumpulan orang ramai di kawasan Pontian Besar , sedikit kekacauan khabarnya akibat rasa tidak puas hati segelintir penyokong calon yang bertanding . Pun begitu , keadaan masih terkawal dengan kemunculan polis.

Malam itu , selepas solat Isya' dan meneliti keputusan PRU secara dalam talian dan mendapati beberapa kerusi parlimen dan DUN sudah dimenangi partiku , aku tidur keletihan .

Catatan berikutnya ialah catatan politik dari kaca mataku sendiri. Sehingga itu , mohon berhenti.

Tabik hormat.
Malaysiaku sejahtera


Sebelum memulakan tugas . Nampak tak comelnya aku di situ ? Tak nampak ? ☺☺