15 MEI 2018 .
CATATAN 2 .
Catatan kali ini lebih kepada catatan tentang politik dan bagaimana ia mempengaruhi pemikiranku. Catatan ini akan mengambil masa beberapa hari untuk selesai dan merputus-putus kerana idea tidak selalu datang. Ketika catatan ini dimulakan , aku baru selesai makan roti telur bersama seorang rakan , berbeza aliran politik tetapi tidak menjadikan itu sempadan pada persahabatan .
Aku mula membaca tentang politik ketika masih kecil lagi. Gila ? Tidak. Matang melebihi usia ? Juga tidak. Aku baca buku , artikel dan akhbar pihak yang tidak sealiran dengan pemerintah kerana itulah bahan bacaan yang aku ada di rumah . Siapa punya ? Abang...dan dia tidak pernah menghalang aku membacanya. Menginjak ke sekolah menengah , aku masih dengan bahan bacaan berhaluan kiri itu . Pada tahun 1988 apabila UMNO diharamkan dan kemudian tertubuh UMNO yang baharu manakala serpihannya menubuhkan Semangat 46 , aku agak keliru apa yang berlaku sehinggalah guru sejarahku ketika aku di Tingkatan 3 dengan linangan air mata berkisah tentang perjuangan UMNO menentang Malayan Union pada tahun 1946 . Ia menyuntik satu semangat dalam diri , tak tahu apa tetapi pada waktu itu aku percaya bahawa orang Melayu mesti bersatu . Selepas itu aku jadi seperti lalang , tidak ada pendirian teguh pada politik sehinggalah memasuki institut perguruan di Kuala Lumpur. Di situ , lebih terdedah pada arus pembangunan dan desir-desir politik kerana ketika itu , seingatku pada Perhimpunan Agung Umno (PAU ) 1998 , ada suara penentangan dari dalam UMNO terhadap kepimpinan pada masa itu . Korupsi , kronisme dan nepotisme (KKN) menjadi isu yang menyembilu parti. Sayugia diingatkan , aku bukan ahli UMNO ketika itu ( dan kini juga). Rentetan itu tidak lama kemudian , bertebaran buku bertajuk 40 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM , yang aku kira merupakan serangan balas terhadap kritikan lantang tokoh itu dalam PAU tersebut. Iklim politik ketika itu panas sepanas Kuala Lumpur ketika itu yang pernah mencecah 39 darjah celcius. Sehingga itu pun , aku masih lalang tidak berpendirian tetapi isu itu kuikuti saban hari . Media berhaluan kiri menjadikannya isu melariskan jualan . Pernah aku beli majalah berhaluan kiri dengan tajuk 'PERANG SUDAH BERMULA' yang merujuk kepada pergolakan pimpinan UMNO itu. Sayangnya , majalah itu yang kubaca kulit ke kulit tidak lagi dalam simpanan .
5.00 PETANG : berhenti sekejap - harus ke hospital menjenguk sahabat yang sakit sejak beberapa hari.
No comments:
Post a Comment